Setelah mencetuskan fenemona global di kalangan penonton sekeliling dunia, Squid Game kini bersedia untuk kembali dengan musim kedua yang amat dinantikan. Musim pertama, yang ditayangkan pada tahun 2021, bukan sahaja mencipta sejarah sebagai siri paling banyak ditonton di Netflix, tetapi juga mencetus perbincangan tentang pelbagai isu sosial dan moral yang relevan dalam masyarakat kita. Tidak sabar untuk Squid Game 2? Ayuh ketahui lebih lanjut.
Dengan unsur thriller psikologi, Squid Game lebih daripada sekadar hiburan; ia telah menjadi simbol pertarungan antara kehidupan dan kematian, keinginan dan semangat perjuangan yang membara. Dijadualkan untuk tayangan pada 26 Disember 2024, penonton akan dibawa lebih jauh ke dalam dunia gelap persaingan ajal maut ini. Siapakah yang akan bertahan? Siapakah yang akan jatuh ke dalam kegelapan permainan ini? Mari kita selami apa yang menjadikan drama Squid Game 2 ini sebuah tayangan yang wajib ditonton.
Squid Game Season 2: Apa yang perlu anda tahu
View this post on Instagram
Buat makluman, musim pertama Squid Game telah mengambil masa 12 tahun untuk dihasilkan, tetapi hanya memerlukan 12 hari untuk menjadi siri paling popular dalam sejarah Netflix. Semestinya, semua ini adalah hasil daripada sumbangan bakat luar biasa pengarah dan penulis kreatif Hwang Dong-hyuk, yang kini kembali untuk menerajui musim kedua.
Dengan pengalaman dan kreativiti yang tiada tandingan, Hwang sekali lagi akan memastikan kesinambungan visi artistiknya yang unik, menjanjikan plot yang lebih mendalam dan berlapis.
Pelakon yang bakal kembali dengan peranan ikonik
Musim kedua ini akan menyaksikan kembalinya beberapa pelakon utama yang telah membentuk identiti siri ini. Lee Jung-jae, yang menghidupkan watak Seong Gi-hun, Pemain 456, kini kembali dengan misi yang lebih kompleks dan berbahaya. Lee Byung-hun juga akan meneruskan peranannya sebagai Front Man yang penuh misteri – menyimpan banyak rahsia tentang permainan ini.
Selain itu, Wi Ha-jun, yang memegang watak detektif Hwang Jun-ho, akan melanjutkan usahanya untuk menyelidik kebenaran di sebalik permainan yang kejam. Tidak dilupakan, bintang Hallyu terkenal, Gong Yoo, juga akan kembali sebagai salesman yang merekrut peserta baru, menambahkan lagi lapisan intrik kepada cerita bersiri ini.
Peminat teruja TOP Bigbang muncul dalam treler ‘Squid Game 2’
Teaser treler Squid Game 2 kini keluar
Baru-baru ini, Netflix melancarkan teaser treler baharu untuk Squid Game 2 di Lucca Comics & Games, konvensyen komik terkenal di Eropah. Pada acara tersebut, Lee Jung-jae dan Wi Ha-jun muncul di atas pentas bersama Hwang Dong-hyuk, menarik perhatian peminat dengan penampilan mereka yang cukup mengagumkan.
Dalam teaser itu, Seong Gi-hun telah kembali ke Squid Game setelah menjuarai permainan yang kejam itu. Dengan pengetahuan mendalam tentang apa yang benar-benar berlaku, Seong kini berusaha untuk menyelamatkan nyawa pemain lain sambil meyakinkan mereka untuk menarik diri dan menghentikan permainan berbahaya ini. Namun, cabaran ini tidak mudah, dan ketegangan yang mendebarkan semakin meningkat dengan pelbagai konflik yang berlaku di antara peserta, menjadikan setiap saat penuh dengan debaran.
Plot yang lebih menarik dan mencabar
Musim ini akan membawa penonton melalui kisah yang mengambil latar tiga tahun selepas kemenangan Seong Gi-hun. Kini, Seong tidak lagi terfokus kepada hadiah KRW45.6 bilion; sebaliknya, dia bertekad untuk membongkar rahsia gelap yang mengawal permainan tersebut.
Dalam perjalanan ini, Seong akan berdepan dengan dilema moral yang sukar—apakah dia akan membiarkan permainan diteruskan, atau berjuang untuk menghentikannya, walaupun dia tahu risiko yang mungkin dihadapinya? Ketegangan antara peserta dan usaha Seong untuk menegakkan keadilan pasti akan menarik perhatian penonton, yang akan dibawa ke dalam konflik emosi dan moral yang amat mendalam.
Elemen baru dan muzik yang memikat
Musim kedua juga akan menyertakan elemen visual baru yang akan menambah suasana suspens dan drama. Hwang telah mengesahkan bahawa musim ini akan menampilkan muzik Itali yang ikonik, termasuk karya Giacomo Puccini, Nessun Dorma dari opera Turandot, serta lagu Time to Say Goodbye (atau Con te partirò) yang dipersembahkan oleh Andrea Bocelli. Muzik ini diharapkan dapat menambah kedalaman emosi dan dramatis kepada setiap momen dalam siri ini, menjadikan pengalaman menonton lebih mendalam dan berkesan.
Dengan pelbagai watak baru dan naratif menarik yang menanti, Squid Game 2 pasti akan memikat peminat setia yang telah mengikuti perjalanan Seong Gi-hun dan rakan-rakannya dari awal lagi. Dengan pelbagai cabaran baru, setiap pemain akan diuji bukan sahaja daripada segi kebolehan berfikir tetapi juga daripada segi moral dan etika.
Adakah anda bersedia untuk menyaksikan bagaimana semua ini akan berakhir? Pastikan anda tidak ketinggalan dalam pengembaraan yang mendebarkan ini, kerana kita semua tahu bahawa dalam permainan ini, hanya bakal ada seorang peserta yang akan muncul sebagai pemenang!
Saksikan treler penuh di sini:
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia
(Kredit gambar featured & hero: Netflix)