Terung balado atau terung berlada adalah hidangan yang sangat digemari di kalangan pencinta makanan pedas, terutamanya bagi mereka yang suka menikmati rasa sambal yang kaya dengan perisa dan pedasnya yang memikat. Jika anda mencari hidangan yang mudah, cepat disediakan, dan cukup menyelerakan, sambal terung balado adalah pilihan yang tepat!
Resepi ini sangat sesuai untuk mereka yang sibuk bekerja, orang bujang yang mencari hidangan ringkas, atau sesiapa sahaja yang ingin menikmati makanan pedas tanpa perlu bermandi peluh di dapur.Walaupun bahannya sederhana dan cara memasaknya mudah, sambal ini mampu memberikan rasa yang luar biasa dengan setiap suapan. Rasa pedas daripada cili padi dan cili merah, digabungkan dengan aroma belacan dan daun limau purut memberikan rasa yang penuh dengan keunikan.
Menu ini tidak hanya enak dimakan dengan nasi putih panas, tetapi juga sangat sesuai dipadankan dengan hidangan lain seperti ayam penyet atau ikan goreng. Jadi tunggu apa lagi? Mari kita lihat cara untuk menyediakan sambal terung balado yang tidak hanya lazat tetapi juga sangat praktikal!
Sambal terung balado: Resepi pedas, sedap dan tak mudah basi
Bahan-bahan:
- 3 biji terung panjang
- 1/2 hingga 1 cawan minyak masak
- 4 biji bawang merah kecil (boleh gantikan dengan 1 biji bawang besar sederhana)
- 5 ulas bawang putih
- 3 tangkai cili merah besar (boleh guna 4-5 biji jika cili saiz kecil)
- 10 tangkai cili padi merah (semua cili padi merah, patahkan dua untuk rasa pedas lebih)
- 1 biji tomato (dipotong kasar)
- 1/2 inci belacan
- 1-2 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil gula
- Sedikit serbuk perasa (optional)
- 3 helai daun limau purut (untuk aroma wangi)
- 1 cawan ikan bilis (dibasuh dan ditoskan)
Cara penyediaan:
- Potong kasar bawang merah kecil (kalau nak ganti dengan bawang besar pon boleh agak-agak 1 biji sederhana).
- Potong kasar bawang putih dan cili merah besar.
- Cili padi merah, buang tangkai dan patahkan menjadi 2 bahagian.
- Tomato potong kasar.
- Terung ungu, buang tangkai kemudian potong memanjang 1.5 inci dan belah 4.
- Ikan bilis basuh dan toskan air biar kering.
- Panaskan minyak dalam kuali, bukak api besar agar minyak betul-betul panas.
- Bila minyak sudah panas, goreng terung sehingga separuh masak.
- Bila terung sudah garing boleh angkat dan toskan minyak.
- Goreng ikan bilis.
- Bekas minyak goreng tadi digunakan untuk goreng bawang merah, bawang putih dan semua cili.
- Bila semua sudah layu, masukkan tomato dan belacan sedikit.
- Bila sudah naik bau, angkat bahan.
- Masukkan bahan yang telah digoreng tadi ke dalam pengisar dan kisar kasar, kalau ada batu gesek boleh guna.
- Masukkan balik bahan kisar dalam minyak bekas goreng tadi dan masak sehingga sambal kering sedikit.
- Bila sudah kering air dan pecah minyak, boleh perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa.
- Koyakkan dan masukkan daun limau purut.
- Sekarang boleh masukkan semua terung goreng.
- Gaul terung biar lembut dan sebati dengan sambal terung.
- Tutup api dan angkat hidangan untuk dijamu. Boleh taburkan sekali ikan bilis goreng di atas sambal terung.
Tip tambahan sambal terung belado:
- Menggoreng cili: Jika anda bimbang cili padi akan meletup semasa digoreng, patahkan saja cili padi sebelum menggorengnya. Ini dapat mengurangkan risiko letupan dan sambal terung tetap rasa pedas.
- Menggoreng terung: Salah satu cara untuk mengelakkan terung daripada menyerap terlalu banyak minyak semasa digoreng adalah dengan menggunakan api besar. Ini membantu terung cepat garing di luar, namun lembut di dalam tanpa terlalu berminyak.
Selamat mencuba, semoga sambal terung balado ini dapat menambah selera makan anda dan orang sekeliling!
Kredit: Che Nom
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia
(Kredit gambar featured & hero: Che Nom)