Johor baru-baru ini mencatat sejarah dengan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi. Dengan tawaran gaji antara RM4,000 hingga RM5,000 untuk mereka yang memiliki kemahiran khusus, langkah ini dilihat sebagai strategi utama kerajaan negeri untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi bakat tempatan.
Melalui inisiatif ini, Johor berusaha untuk memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak hanya terus berada di negeri tersebut tetapi juga berpeluang berkembang dalam sektor-sektor industri yang semakin berkembang pesat. Dalam suasana global yang semakin kompetitif, di mana banyak negara jiran menawarkan peluang pekerjaan yang lebih menarik, langkah proaktif Johor ini diharap mampu mengekalkan bakat tempatan dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pelaburan asing.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut sokong inisiatif
Inisiatif pemberian gaji premium ini turut mendapat sokongan penuh daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang menyifatkan Johor sebagai pelopor dalam melaksanakan langkah proaktif untuk memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi sentiasa tersedia.
Menerusi muat naik di Facebook HRH Prince Crown of Johor, baginda mengumumkan bahawa Johor bakal menjadi negeri pertama di negara ini yang menawarkan gaji premium kepada pekerja berkemahiran tinggi, sebagai sebahagian daripada penubuhan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Tunku Mahkota Ismail menekankan bahawa langkah ini akan membantu Johor merealisasikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dalam beberapa tahun akan datang. Ia sejajar dengan inisiatif penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan menyaksikan kemasukan pelaburan strategik dan pengembangan sektor ekonomi tinggi di negeri ini.
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadi lubuk peluang pekerjaan dengan gaji premium
Kerajaan Johor juga telah melangkah lebih jauh dalam mempromosikan negeri ini sebagai hub ekonomi melalui pelbagai kerjasama dengan syarikat antarabangsa. Sebagai contoh, Johor Plantations Group Berhad (JPG) baru-baru ini memeterai kerjasama dengan syarikat Jepun Fuji Oil Asia Pte Ltd untuk membina kilang penapisan minyak sawit dan lemak khusus di Johor. Projek bernilai RM500 juta ini dijangka akan membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor perkilangan dan pemprosesan.
Selain itu, kerajaan Johor juga telah mengadakan rundingan dengan 83 syarikat terkemuka dari Korea Selatan, yang diharap dapat membawa pelaburan bernilai kira-kira RM893 juta (AS$190 juta) ke negeri ini.
Dengan pelaburan-pelaburan besar ini, lebih banyak peluang pekerjaan khususnya dalam bidang teknologi dan industri tinggi akan dapat diwujudkan, sekali gus memanfaatkan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi.
Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sebagai platform program latihan berkualiti
Pada Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut melancarkan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) yang bertujuan menjadi platform sehenti untuk menyelaraskan program latihan antara institusi TVET (Pendidikan Teknikal dan Vokasional), industri, dan pencari kerja.
JTDC akan berperanan penting dalam membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk memenuhi 100,000 peluang pekerjaan yang dijangka diwujudkan di Johor dalam beberapa tahun akan datang.
Dr Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa gaji premium yang ditawarkan bermula RM4,000 bagi pemegang diploma dan RM5,000 bagi mereka yang memiliki ijazah sarjana muda akan menjadi daya tarikan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam industri berteknologi tinggi, terutama sekali di dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Dengan adanya insentif gaji premium ini, kerajaan negeri berharap dapat mengurangkan kebocoran bakat tempatan yang sering berpindah ke negara jiran seperti Singapura, yang menawarkan gaji lebih tinggi.
Memperkuat ekonomi Johor melalui pelaburan dan infrastruktur (gaji premium)
Selain usaha memajukan tenaga kerja, kerajaan Johor juga sedang merancang untuk memperbaiki infrastruktur pelancongan dan ikonik di negeri ini. Istana Besar Johor dan Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan akan dinaik taraf dalam masa terdekat. Titah Tunku Mahkota Ismail, kedua-dua tempat tersebut mempunyai sejarah penting Johor sejak abad ke-19, dan kerja-kerja naik taraf ini bertujuan untuk meningkatkan nilai pelancongan dan menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini.
Dengan penubuhan JTDC, kerjasama antarabangsa dalam pembangunan zon ekonomi khas, serta peningkatan infrastruktur pelancongan, Johor kini bersedia untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat nasional dan antarabangsa. Peluang-peluang pekerjaan baru yang diwujudkan melalui pelaburan asing ini dijangka akan menguntungkan masyarakat tempatan dan memberi mereka peluang untuk berkembang dalam bidang-bidang berkemahiran tinggi yang sangat diperlukan oleh industri moden.
Bagi anda yang sedang mencari peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih berbaloi, inilah peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Hujan batu di negeri sendiri, hujan emas di negeri orang, baik lagi negeri sendiri bukan?
Kredit: Sinar Harian
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia
(Kredit gambar featured & hero: BH)