Lifestyle Asia
Home > Gaya Hidup > Permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 : Syarat kelayakan & cara memohon
Permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 : Syarat kelayakan & cara memohon

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah inisiatif kerajaan Malaysia yang bertujuan untuk membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan rendah dengan memberikan bantuan kewangan secara langsung. Program ini merupakan kesinambungan daripada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya, namun dengan beberapa penambahbaikan untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

STR 2025 bertujuan meringankan beban kewangan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang terkesan akibat inflasi, pandemik, dan cabaran ekonomi. Untuk tahun 2025, kerajaan telah meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion pada tahun 2024, dengan anggaran 9 juta penerima atau 60% daripada penduduk dewasa negara bakal menerima manfaat daripada program ini.

Syarat-syarat permohonan / kelayakan bagi setiap kategori

Buat makluman, Sumbangan Tunai Rahmah 2025 terbuka untuk tiga kategori pemohon utama, iaitu Isi Rumah, Warga Emas Tiada Pasangan, dan Bujang. Berikut adalah syarat kelayakan mengikut kategori:

1. Isi Rumah:

  • Pemohon berstatus berkahwin, ibu/bapa tunggal, balu/janda/duda yang mempunyai anak yang memenuhi syarat kelayakan.
  • Pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah.

2. Warga Emas Tiada Pasangan:

  • Pemohon berstatus bujang, ibu/bapa tunggal, balu/janda/duda yang tiada anak yang memenuhi syarat kelayakan.
  • Berumur 60 tahun dan ke atas.
  • Pendapatan RM5,000 dan ke bawah.

3. Bujang:

  • Bujang atau ibu/bapa tunggal, balu/janda/duda yang tiada anak yang memenuhi syarat kelayakan.
  • Berumur 21-59 tahun (atau 19 tahun dan ke atas bagi individu Orang Kurang Upaya – OKU).
  • Pendapatan RM2,500 dan ke bawah.
  • Bukan pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS.

Bagi individu berumur 21 tahun dan ke atas, termasuk OKU berumur 19 tahun dan ke atas, mereka hanya boleh dimasukkan sebagai anak/tanggungan dalam permohonan isi rumah, dan tidak layak membuat permohonan STR sebagai individu bujang.

Cara permohonan Sumbangan Tunai Rahmah 2025

str 2025, str, sumbangan tunai rahmah, bantuan rakyat
Kredit: LHDN

Terdapat dua cara untuk memohon STR 2025, iaitu:

1. Permohonan secara dalam talian:

  • Layari portal rasmi STR 2025 di pautan ini.

2.  Permohonan secara manual:

  • Pemohon boleh mengemukakan borang permohonan ke pejabat HASiL (LHDNM) berdekatan.

Pemohon yang perlu membuat permohonan baru adalah mereka yang:

  • Tiada rekod dalam sistem STR 2024.
  • Berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah atau individu bujang RM2,500 dan ke bawah.

Tarikh akhir permohonan Sumbangan Tunai Rahmah 2025

Permohonan untuk Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah 2025 akan ditutup pada 30 November 2024. Jadi pastikan anda mengemukakan permohonan sebelum tarikh tersebut bagi membolehkan anda menerima bantuan pada fasa pertama. Permohonan bagi fasa seterusnya masih dibuka sepanjang tahun.

Kadar bayaran STR 2025 bagi setiap kategori

Kredit: eCentral

Untuk tahun 2025, kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah akan meningkat, memberikan manfaat yang lebih besar kepada penerima. Berikut adalah kadar bayaran yang ditingkatkan:

1. Isi Rumah: Kadar maksimum meningkat kepada RM4,600 (berbanding RM3,700 pada 2024).
2. Bujang: Kadar bagi kategori bujang juga meningkat kepada RM600.

Kaedah pembayaran STR 2025

Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah boleh diterima melalui dua kaedah:

1. Walk-in ke cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN): Bagi penerima yang tiada akaun bank, bayaran boleh dituntut di kaunter BSN.

2. Pengkreditan ke akaun bank: Pembayaran akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank pemohon atau pasangan.

Untuk penerima di pedalaman Sabah dan Sarawak, terdapat jadual khas bagi pembayaran di kaunter.

Maklumat lanjut STR 2025

Untuk maklumat terkini dan kemas kini mengenai STR 2025, anda boleh mengunjungi laman web rasmi atau mengikuti saluran WhatsApp rasmi untuk notifikasi. Untuk bantuan lanjut, kunjungi laman web rasmi STR. 

Dengan maklumat yang lebih jelas mengenai Sumbangan Tunai Rahmah 2025, diharapkan ia dapat membantu anda dalam membuat permohonan dan memastikan anda tidak terlepas peluang untuk menerima bantuan kewangan yang diperlukan. Jangan lupa untuk melengkapkan permohonan sebelum tarikh akhir dan pastikan semua dokumen sokongan disertakan dengan betul.

Kredit: eCentral, LHDN

Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia


(Kredit gambar featured & hero: BH)

Note:
The information in this article is accurate as of the date of publication.

Frequently Asked Questions (FAQs)

Siapakah yang perlu membuat permohonan baharu?

Pemohon yang tiada rekod dalam sistem STR 2024 dan berpendapatan bawah RM5,000 untuk isi rumah, atau RM2,500 untuk bujang.

Dokumen sokongan yang perlu dikemukakan

Salinan sijil perkahwinan, sijil kematian pasangan, atau sijil perceraian bagi pemohon yang berkahwin atau berstatus ibu/bapa tunggal. Salinan MyKad dan sijil kelahiran anak bagi pemohon yang mempunyai anak.

Apakah syarat umur untuk permohonan STR?

Pemohon berumur 21 tahun ke atas layak memohon sebagai bujang. OKU berumur 19 tahun ke atas juga boleh memohon di bawah kategori bujang.

Saya tiada akaun bank, bagaimana pembayaran dibuat?

Pembayaran boleh dituntut di kaunter BSN dengan membawa MyKad.

Written by

Permohonan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 : Syarat kelayakan & cara memohon

Adriana Syaurah

Digital Writer

Bermula dengan jatuh cinta pandang pertama terhadap dunia perfileman, Syaurah kini menjadikan nota dan pen teman akrab dalam kamus kehidupan. Mahu mendalami sisi dunia penulisan gaya hidup, penulis Gen-Z ini juga kerap meluangkan masanya menyelam di bundle sekitar KL.