Perbezaan darjat antara golongan diraja dan orang biasa dahulunya sering menjadi penghalang kepada perkahwinan antara kedua-dua golongan ini. Namun, perubahan zaman dan pandangan masyarakat telah membawa kepada penerimaan yang lebih luas terhadap hubungan antara putera-puteri raja dan rakyat biasa. Antara yang menjadi bualan hangat bagi topik ini ialah Tengku Natasya Adnan.
Baru-baru ini, laman media sosial, khususnya TikTok, menjadi tumpuan perbualan berikutan spekulasi mengenai kemungkinan perkahwinan antara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, anakanda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan Tengku Natasya Adnan Tengku Mansor, anak kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bakal berlangsung Oktober ini.
Walaupun khabar angin ini belum disahkan secara rasmi, keterujaan masyarakat terhadap berita ini jelas kelihatan apabila ramai yang ingin mengenali lebih lanjut tentang Tengku Natasya Adnan, yang kini menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat Malaysia. Namun begitu, penting untuk diingat bahawa sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dari pihak Istana Pahang atau mana-mana pihak berkuasa yang mengesahkan berita perkahwinan ini. Dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu pengumuman rasmi mengenai perkara ini.
Bagi anda yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang siapa sebenarnya Tengku Natasya Adnan, kami kongsikan biodata dan fakta-fakta menarik mengenai beliau. Ikuti perjalanan hidup dan keunikan wanita ini yang memikat perhatian ramai, dan ketahui apa yang menjadikannya begitu istimewa di mata masyarakat.
Biodata dan fakta menarik Tengku Natasya Adnan
1. Berusia 29 tahun
Tengku Natasya Adnan, yang dilahirkan pada tahun 1995, kini memasuki usia 29 tahun dengan penuh keanggunan. Manakala, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Bin Tengku Abdullah dilahirkan pada 3 Ogos 1997 (27 tahun).
2. Anak bekas Menteri Wilayah Persekutuan
Tengku Natasya Adnan dilahirkan daripada perkahwinan Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor dan Datin Seri Utama Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini.
Ibunya yang dilahirkan pada 23 Mei 1966, adalah seorang pelakon terkenal dari Indonesia yang dikenali sebagai bintang besar perfilman Indonesia pada tahun 1980-an. Selepas bertemu dengan Tengku Adnan pada tahun 1988, Enny, yang pada ketika itu menerima sumbangan dana dari Tengku Adnan untuk salah satu filemnya, akhirnya berkahwin dengan beliau pada 13 Jun 1989 di Yogyakarta. Perkahwinan ini menggunakan adat suku Jawa, dan selepas berkahwin, Enny meninggalkan dunia hiburannya dan berpindah ke Malaysia.
Hasil perkahwinan mereka, Tengku Natasya Adnan dikurniakan lima adik-beradik, iaitu Tengku Iqbal, Tengku Hafiz, Tengku Nadira, Tengku Najwa, dan Tengku Nabila. Selain daripada adik-beradik yang lahir daripada perkahwinan ini, Tengku Adnan juga mempunyai anak-anak dari perkahwinan sebelumnya, termasuk Tengku Daud, Tengku Balqish, Tengku Yazir, dan Tengku Nadiah.
Jelas sekali, kecantikan Tengku Natasya Adnan tidak hanya terletak pada penampilannya tetapi juga pada darah kacukan Indonesia yang mengalir dalam dirinya. Gabungan warisan Melayu dan Indonesia memberikan wanita hebat ini aura keunikan dan keanggunan yang memikat, menambah pesona dan karisma yang dimilikinya.
Tengku Muhammad Iskandar curi perhatian ramai
Terdahulu, Tengku Muhammad Iskandar telah menarik perhatian ramai rakyat Sabah ketika Kembara Kenali Borneo di Sabah. Kehadiran dan ketampanannya mencuri tumpuan dan mencerminkan daya tarikan beliau serta penghargaan rakyat tempatan terhadap pertemuan dengan keluarga diraja.
Sebagai pewaris takhta kedua dalam susur galur pewarisan takhta kerajaan negeri Pahang, Tengku Muhammad dilahirkan pada 3 Ogos 1997 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang. Dengan latar belakang yang cemerlang, tidak hairanlah berita mengenai perkahwinan beliau mendapat perhatian meluas.
Bagi para peminat dan pengikut diraja, walaupun anda mungkin teruja dengan khabar angin ini, adalah penting untuk menghormati keperluan pengesahan rasmi sebelum membuat sebarang andaian. Sehingga itu, mari kita bersama-sama mendoakan yang terbaik buat pasangan ini.
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia
(Kredit gambar Hero dan Featured: Instagram Tengku Nadira)