Lifestyle Asia
Home > Sensasi > Kenali Lyia Meta, penyanyi Malaysia pertama yang tercalon dalam Anugerah Grammy
Kenali Lyia Meta, penyanyi Malaysia pertama yang tercalon dalam Anugerah Grammy

Lyia Meta, nama yang semakin meniti di bibir peminat muzik antarabangsa, kini mencatatkan pencapaian yang cukup gemilang! Penyanyi jaz ini berjaya melakar sejarah baru dengan menjadi penyanyi Malaysia pertama yang terlibat dalam pencalonan Grammy, satu pencapaian yang belum pernah lagi dicapai oleh artis tempatan.

Meta menyumbangkan vokalnya dalam lagu Delta Shine yang merupakan sebahagian daripada album The Fury yang dinominasikan dalam kategori Best Contemporary Blues Album. Album tersebut, yang merupakan hasil kerjasama dengan pemuzik Latin-Amerika, Antonio Vergara, mendapat pengiktirafan tinggi dalam industri muzik global.

Pencalonan ini bukan sahaja membuka peluang besar buat Lyia, tetapi juga menjadi bukti bahawa artis Malaysia mampu menembusi persaingan di peringkat antarabangsa. Ayuh, ketahui lebih lanjut tentang pencapaian hebat penyanyi ini menerusi perkongsian artikel di bawah:

Lyia Meta, suara Malaysia pertama tersenarai dalam pencalonan Grammy

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Lyia Meta (@lyiameta)

Bagi Lyia Meta, pencalonan ini lebih daripada sekadar penghargaan peribadi. Ia merupakan pengiktirafan terhadap potensi artis Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Dalam satu kenyataan, Lyia berkata, “Bagi seorang artis bebas, menjadi sebahagian daripada album yang dinominasikan untuk Grammy adalah satu pencapaian yang sangat bermakna.

“Tanpa sokongan label besar, ia adalah pengesahan terhadap dedikasi seseorang untuk mencipta sesuatu yang bermakna, seperti memutar emas dari jerami di tengah-tengah hingar-bingar,” kata Meta memetik laporan portal Free Malaysia Today, pada Isnin.

Buat makluman, pencalonan untuk Anugerah Grammy 2025 telah diumumkan pada Jumaat lalu, dan Lyia kini berharap untuk menerima sokongan yang berterusan menuju ke acara paling berprestij dalam dunia muzik itu, yang akan berlangsung pada 2 Februari 2025 di Los Angeles.

Perjalanan ke Grammy: Mimpi yang menjadi kenyataan

lyia meta, grammy 2025, malaysia, grammy award
Kredit: Grammy.com

Perjalanan Grammy Lyia Meta bermula apabila dia dihubungi oleh Antonio Vergara untuk berkolaborasi dalam album The Fury. Vergara, seorang multi-instrumentalis dan pengeluar muzik yang berkaliber, mencari suara segar untuk menambahkan dimensi baru dalam albumnya. Dengan gaya vokal yang unik dan keupayaan versatilitasnya, Lyia dipilih untuk menyertai projek tersebut.

Meta turut akui bahawa dia tidak teragak-agak menerima tawaran tersebut, kerana ini adalah peluang untuk meneroka satu lagi jalan ekspresi muzik. “Pencalonan Grammy untuk album Antonio, atau seperti yang dia katakan, ‘album kita’, adalah bukti bahawa setiap malam yang panjang, setiap inci keyakinan diri, dan setiap detik yang didedikasikan untuk menghasilkan muzik yang autentik benar-benar berbaloi,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Keunikan album The Fury menjadi taruhan

Album The Fury merupakan sebuah album blues penuh emosi, yang menampilkan sumbangan daripada beberapa nama besar dalam genre tersebut, termasuk pemenang dan calon Grammy serta Emmy. Album ini menonjol dengan kepelbagaian vokal yang memperkayakan setiap lagu dan menjadikannya lebih mendalam. Lyia turut merakamkan vokalnya dalam lagu Delta Shine, yang dipenuhi dengan riff gitar yang jelas memberi impak mendalam kepada setiap pasang telinga yang mendengar.

Menurut Meta, Delta Shine mengisahkan tentang keindahan menikmati sianran di bawah cahaya bulan Mississippi, sambil merayakan akar blues yang berasal dari delta tersebut. “Saya sangat tertarik dengan muzik yang berasaskan riff gitar, di mana setiap nota dan irama bergabung untuk mencipta suasana yang unik,” katanya, merujuk kepada struktur muzik yang mengiringi lagunya.

Kejayaan Lyia Meta dalam menyuarakan potensi suara Malaysia di peringkat global

lyia meta, grammy 2025, malaysia, grammy award
Kredit: Muse.World

Kejayaan Lyia Meta turut mendapat perhatian banyak pihak di Malaysia, termasuk Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez. Menurut Fernandez, pencapaian Meta ini telah membawa kebanggaan yang cukup besar kepada negara dan membuktikan bahawa dengan semangat dan usaha, artis Malaysia mampu mencapai pengiktirafan antarabangsa.

“Ini adalah pengiktirafan terhadap kehebatan seni Lyia, dan ia juga membuka jalan untuk pencapaian yang lebih besar di masa depan. Pencapaian ini adalah sinar harapan bagi semua pemuzik Malaysia,” tambahnya. Freddie juga menggesa kerajaan dan sektor swasta untuk memberikan lebih banyak sumber dan peluang kepada artis tempatan untuk mengembangkan bakat mereka dan memperkenalkan muzik Malaysia ke pentas dunia.

Siapakah Lyia Meta sebagai seorang artis?

Kredit: Muse.World

Menganggap pencalonan Grammy ini sebagai batu loncatan dalam perjalanan kariernya yang terus berkembang, Lyia Meta juga terlibat dalam beberapa projek muzik yang turut dicalonkan dalam anugerah Grammy terbaru, termasuk album Descendents (79 languages) dalam kategori Global Music Album dan album solonya; Next dalam kategori Traditional Pop Vocal Album. Semua projek ini merupakan bukti usaha gigih dan komitmen Lyia dalam meneroka pelbagai genre muzik yang berbeza.

Tidak disangkal lagi, pencalonan Grammy ini adalah pengiktirafan yang sangat berharga terhadap bakat dan dedikasi Meta dalam dunia muzik, sekaligus menunjukkan bahawa artis Malaysia mempunyai tempat di pentas dunia.

Setinggi-tinggi tahniah kami ucapkan daripada Lifestyle Asia Malaysia dan moga pencapaian hebat anak seni ini memberi inspirasi kepada industri muzik tempatan untuk terus berkembang. You go girl! 

Kredit: FMT

Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia


(Kredit gambar featured & hero: IG Lyia Meta)

Note:
The information in this article is accurate as of the date of publication.

Written by

Kenali Lyia Meta, penyanyi Malaysia pertama yang tercalon dalam Anugerah Grammy

Adriana Syaurah

Digital Writer

Bermula dengan jatuh cinta pandang pertama terhadap dunia perfileman, Syaurah kini menjadikan nota dan pen teman akrab dalam kamus kehidupan. Mahu mendalami sisi dunia penulisan gaya hidup, penulis Gen-Z ini juga kerap meluangkan masanya menyelam di bundle sekitar KL.