Biji selasih dan chia seed – bijian kecil yang sering disebut-sebut dalam dunia kesihatan – mungkin kelihatan serupa, tetapi tahukah anda bahawa kedua-duanya membawa manfaat yang berbeza kepada tubuh kita? Walaupun sering digunakan dalam hidangan yang sama, biji selasih dan chia seed mempunyai sejarah dan keunikan tersendiri. Kebaikan biji selasih juga berbeza jika dibandingkan dengan chia seed.
Biji selasih, yang popular di Asia Tenggara, sering digunakan dalam minuman segar seperti sirap selasih, memberikan tekstur kenyal yang menyegarkan. Manakala chia seed pula telah menjadi bahan wajib dalam diet pemakanan sihat, terutama dalam kalangan penggemar makanan super (superfoods). Walaupun kedua-duanya berkhasiat dan penuh dengan nutrisi, apakah perbezaan dalam hal kandungan nutrisi, rasa, dan impak bijian ini kepada kesihatan tubuh badan anda?
Usah rungsing kerana menerusi artikel ini, kami akan mengupas segala yang perlu anda tahu tentang biji selasih dan chia seed – dari segi khasiat, perbezaan fizikal, sehingga ke cara penggunaannya. Sama ada anda ingin menurunkan berat badan, menjaga kesihatan kulit, atau hanya sekadar mencari makanan tambahan yang kaya dengan serat, kedua-dua bijian ini adalah pilihan yang patut anda pertimbangkan.
Apa itu biji selasih?
Biji selasih, atau lebih dikenali sebagai basil seed, berasal dari tumbuhan Ocimum basilicum. Tumbuhan ini sangat popular di negara-negara Asia seperti Thailand dan Malaysia, di mana biji selasih sering digunakan dalam minuman atau sebagai bahan hiasan pada hidangan.
Biji ini juga memiliki sifat unik, iaitu ia dapat mengembang dan menjadi kenyal apabila direndam dalam air, menjadikannya popular sebagai bahan untuk minuman sirap atau jus. Sering dianggap sebagai alternatif yang baik untuk chia seed, kebaikan biji selasih terkandung kepada nilai nutrisi yang hampir serupa dan memberikan manfaat yang hampir sama kepada tubuh.
Namun, chia seed memiliki lebih banyak lemak omega-3 berbanding biji selasih, sementara biji selasih mengandungi lebih banyak serat dan sedikit lebih banyak zat besi dan magnesium.
Perbezaan antara basil seed dan chia seed
Walaupun biji selasih dan chia seed mempunyai manfaat yang serupa, terdapat beberapa perbezaan ketara yang boleh mempengaruhi pilihan anda.
1. Bentuk dan saiz:
- Biji selasih: Saiznya lebih kecil dan berbentuk seperti biji beras. Apabila direndam dalam air, ia akan mengembang dan menjadi kenyal.
- Chia seed: Saiz biji chia lebih besar berbanding biji selasih dan berbentuk bujur. Chia seed boleh dimakan tanpa perlu direndam terlebih dahulu.
2. Rasa:
- Biji selasih: Memiliki sedikit rasa yang tersendiri, walaupun tidak begitu kuat.
- Chia seed: Ciri utama chia seed adalah ia tidak mempunyai rasa (tasteless), menjadikannya mudah dicampurkan ke dalam pelbagai jenis hidangan tanpa mengubah rasa asal.
3. Cara penggunaan:
- Biji selasih: Biasanya perlu direndam terlebih dahulu sebelum dimakan. Setelah direndam, bijinya akan mengembang dan memberikan tekstur kenyal yang menyegarkan.
- Chia Seed: Boleh dimakan sama ada selepas direndam atau terus dimakan mentah. Chia seed mudah ditambah ke dalam smoothie, yogurt, atau salad.
4. Harga:
- Biji selasih: Secara amnya, biji selasih lebih murah berbanding chia seed.
- Chia seed: Harga chia seed cenderung lebih mahal kerana popularitinya yang lebih luas di pasaran global.
Kebaikan biji selasih kepada tubuh badan
Biji selasih bukan sahaja menyegarkan tetapi juga kaya dengan manfaat kesihatan. Berikut adalah beberapa kebaikan biji selasih yang dapat memberikan impak positif kepada tubuh kita:
1. Membantu menurunkan berat badan
Kandungan serat yang tinggi dalam biji selasih membantu memberikan rasa kenyang lebih lama, sekali gus mengawal selera makan. Ia juga mengandungi asid alfa-linolenik (ALA) yang dapat meningkatkan metabolisme pembakaran lemak.
2. Mengurangkan panas dalam
Biji selasih dikenal pasti sebagai agen penyejuk semula jadi yang berkesan untuk mengurangkan panas dalam badan. Ia sering digunakan dalam minuman tradisional untuk menyejukkan badan, terutama di negara-negara tropika.
3. Mengawal paras gula dalam darah
Kandungan serat dalam biji selasih membantu mengawal paras gula dalam darah. Ini menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang ingin mengelakkan lonjakan paras glukosa, terutamanya pesakit diabetes jenis 2.
4. Melegakan sembelit
Biji selasih juga dikenali kerana kemampuannya untuk membantu sistem pencernaan. Serat yang terdapat dalam biji ini membantu melancarkan proses pembuangan air besar dan mengurangkan masalah sembelit.
5. Menjadikan kulit dan rambut lebih sihat
Selain untuk kesihatan dalaman, biji selasih juga bermanfaat untuk kecantikan. Ia boleh membantu mencegah jerawat, ekzema, dan psoriasis, serta menjadikan rambut lebih sihat dengan mencegah keguguran rambut.
6. Mengurangkan tekanan dan keresahan
Biji selasih mengandungi flavonoid dan terpenoid yang mampu meredakan tekanan dan keresahan, menjadikannya pilihan yang baik untuk mereka yang sering menghadapi masalah tekanan.
Secara keseluruhan, biji selasih dan chia seed kedua-duanya memberikan manfaat kesihatan yang luar biasa. Jika anda mencari pilihan yang lebih murah dan mudah didapati, biji selasih adalah pilihan yang tepat. Namun, jika anda mencari sumber lemak omega-3 yang lebih tinggi, chia seed mungkin lebih sesuai untuk anda. Kedua-duanya boleh dijadikan sebahagian daripada amalan diet sihat untuk meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.
Kredit: Ecentral
Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia
(Kredit gambar featured & hero: Pexels)