Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza telah dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara di Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.
Datuk Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan panggilan TokTi, Mak Iti atau CTDK, menerima anugerah lagenda itu dalam majlis penuh gilang-gemilang yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada malam Rabu. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada legenda muzik tanah air itu.
“Seni bukan semata-mata untuk mencipta nama tapi dapat dekatkan diri saya dengan masyarakat.
“Saya dapat bertemu peminat, pelbagai latar belakang, mendekati masyarakat pelbagai bangsa, memperkenalkan negara melalui persembahan di luar negara.
“Saya gembira kerana kerjaya seni ini telah mematangkan diri saya untuk memberikan inspirasi, contoh serta pengaruh yang baik dalam masyarakat.
“Apa yang saya harapkan agar satu hari nanti hasil seni jadi tanda atau prasasti untuk disantuni generasi muda akan datang,” katanya dalam video ucapan yang dirakamkan sebagai penghargaan kepada semua yang membantu dalam kerjaya seninya selama ini.
Digelar Biduanita Negara selepas 28 tahun
TokTi juga menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan anugerah yang besar untuk dirinya sepanjang 28 tahun kariernya di persada seni.
ASN 2024 turut diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang berkenan mencemar duli hadir ke majlis berkenaan.
Malam anugerah itu juga Siti Nurhaliza juga sempat menyampaikan dua lagu dalam majlis tersebut dan kemudian menambah satu lagi persembahan, medley lagu popular beliau di hujung majlis.
Datuk Siti juga sempat menyampaikan ucapan ringkas, menyatakan komitmen beliau untuk terus memberikan yang terbaik untuk industri seni tanah air.
“Bagi saya, ini merupakan anugerah yang besar untuk saya. Prinsip saya dalam kerja atau sayang saya lakukan, saya harus memberi sumbangan dan kita semua ada peranan dalam kerjaya kita.
“Insya-Allah saya akan terus berikan yang terbaik untuk industri muzik tanah air dan bawa muzik kita ke peringkat lebih jauh lagi, lebih tinggi,” jelas Datuk Siti.
Selaku penerima Anugerah Khas ASN 2024: Biduan Negara, beliau akan menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.
Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.