Lifestyle Asia
Home > Sensasi > What's On > Fakta tentang Allahyarham Tun Daim, ahli veteran politik di Malaysia
Fakta tentang Allahyarham Tun Daim, ahli veteran politik di Malaysia

Siapa yang tidak kenal dengan seorang ahli politik veteran negara kita Malaysia, Tun Daim Zainuddin. Seorang bekas Menteri Kewangan dan ahli perniagaan, beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini di sebuah hospital swasta di usia 86 tahun. Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh peguamnya, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Menurut laporan, Allahyarham telah menerima rawatan di hospital sejak dua minggu lalu. Dikatakan yang Tun Daim mengalami strok baru-baru ini dan dimasukkan di dalam unit rawatan rapi (ICU). Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Persiaran Bukit Tunku sebelum solat jenazah yang dikatakan selepas solat Asar di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara 1.

Fakta tentang Allahyarham Tun Daim Zainuddin

Tun Daim
Kredit foto: Utusan

Kehidupan awal Tun Daim

Allahyarham Tun Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim bin Zainuddin dilahirkan di Derga, Alor Setar, Kedah. Allahyarham mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid dari tahun 1949 sehingga 1954. Selepas itu, beliau menyambung pelajaran di Institusi Saint Xavier, Pulau Pinang sehingga lulus Peperiksaan Sekolah Cambridge (Cambridge School Examination) pada tahun 1957.

Karier

Kredit foto: Bernama

Pada mulanya, Allahyarham Tun Daim bekerja sebagai seorang guru sandaran di Kolej Sultan Abdul Hamid sehingga tahun 1957. Kemudiannya beliau lulus dalam Peperiksaan Peguam (Bar Examination) pada tahun 1959 selepas memasuki Lincoln’s Inn selama 18 bulan sahaja. Berpegangkan ijazah undang-undang, Allahyarham kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang Perancangan Bandar di Universiti California, Berkeley, pada tahun 1977 dan memiliki ijazah pada tahun 1979.

Selepas itu, Tun Daim memulakan kerjaya dalam bidang undang-undang di Kota Bahru, Kelantan dan menyertai perkhidmatan undang-undang dalam kerajaan. Allahyarham juga pernah menjawat jawatan majistret di Johor dan Timbalan Pendakwa Raya di Perak. Pada tahun 1966, beliau membuka firma guamannya bersama Allen & Gledhill. Selepas itu, beliau membuka firma guamannya sendiri yang bernama Daim, Gamani. & Co.

Daim juga merupakan Pengerusi Peremba Bhd, unit Perbadanan Pembangunan Bandar di antara tahun 1979 dan 1984. Ia adalah sebuah syarikat yang mempelopori penglibatan aktif bumiputera dalam syarikat awam tersenarai. Selain itu, Tun Daim juga terbabit dengan bidang pemaju hartanah, Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri. Beliau mempunyai jumlah saham yang besar dalam United Malayan Banking Corporation (UMBC) dan Malaysian-French Bank pada masa itu.

Bukan itu sahaja, Allahyarham juga adalah pengerusi Fleet Holdings Sdn Bhd, sebuah kumpulan media utama, dan TV3.

Kancah politik Tun Daim

Tun Daim
Kredit foto: Bernama

Berikut adalah beberapa fakta tentang Tun Daim dalam kancah politik:

  • Tun Daim mula di dalam dunia politik pada tahun 1966, sewaktu membuka syarikat guaman bersama Allen & Gledhill.
  • Kerajaan Pusat pernah melantik firma guaman itu untuk pihak Gabenor Sarawak untuk sebuah kes.
  • Bermula dari situ, Allahyarham memasuki persada politik Malaysia, yang mana pada ketika itu sering perlu bekerja untuk Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak.
  • Pada tahun yang sama juga, Allahyarham menubuhkan firma guaman sendiri, Daim & Co.
  • Mula menjadi senator pada 1980 hingga 1982, dan pada tahun itu juga, Allahyarham bertanding di kerusi Kuala Muda dan menang kerusi tersebut.
  • Dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 14 Julai 1984 oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Pada 15 Mac 1991, beliau meletakkan jawatan tersebut selepas merasakan ekonomi Malaysia telah benar-benar teguh.
  • Pada Januari 1999, beliau dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Pertama selepas Menteri Kewangan pada ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kabinet.
  • Biarpun selama tujuh tahun berada di luar kabinet sejak tahun 1991, Tun Daim kekal aktif dalam hal ehwal ekonomi negara dengan pelantikan sebagai penasihat ekonomi kerajaan.
  • Pada 20 Disember 1997, Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
  • Pada ketika beliau dilantik Menteri Kewangan juga, Allahyarham juga menganggotai kabinet sebagai Menteri Tugas-tugas Khas pada 26 Jun 1998.
  • Allahyarham meletakkan jawatan Menteri Kewangan pada 31 Mei 2001.
  • Allahyarham Tun Daim juga pernah memegang jawatan Bendahari Agung UMNO antara tahun 1984 hingga 1999 dan juga Bendahari Barisan Nasional (BN).

Sumber: BH NST Wikipedia

Kredit foto Hero & Featured: Bernama

Baca artikel mengenai gaya hidup, tempat makan menarik, fesyen terkini, kecantikan dan kesihatan, serta gosip artis popular di Lifestyle Asia Malaysia

Note:
The information in this article is accurate as of the date of publication.

Written by

Fakta tentang Allahyarham Tun Daim, ahli veteran politik di Malaysia

Farhana Fuad

SEO Content Manager

Sejak bermula kariernya sukakan penulisan gaya hidup. Tidak terhad kepada menulis semata, Farhana punyai skil untuk memastikan SEO terjaga demi artikel bertapak di tangga teratas Google. Selain menulis, turut gemar menonton siri/filem medikal dan berasaskan kisah benar di rumah bersama kucing kesayangan dan jika waktu serta duit tiada kekangan, she definitely will book a flight ticket and just go!